Sunday, December 6, 2009
PENGASAS DARUL ULUM
Pengasas Darul Ulum yang telah bertanggungjawab menubuhkan dan menjayakan Darul Ulum sejak awal sehingga ke hari ini ialah Ustaz Afi bin Abdullah. Beliau dilahirkan pada 30 September tahun 1955 di Phum Pas, Wilayah Kampong Cham, Cambodia. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah pondok di Cambodia sehingga umur beliau mencecah belasan tahun. Ketika serangan komunis di Cambodia, beliau bersama beberapa orang rakan telah melarikan diri ke Kelantan, Malaysia.
Di Kelantan, beliau dan rakan-rakan telah mendapat bantuan rakyat tempatan dan diambil menjadi anak angkat penduduk setempat. Beliau menuntut di Maahad Muhammadi Lilbanin di Kota Bharu, Kelantan. Selepas mengambil Sijil Tinggi Ugama (sekarang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)) dan belajar di Yayasan Pengajian Islam Tinggi Nilampuri, Kelantan(sekarang dikenali sebagai Akademi Islam, Universiti Malaya) dalam jurusan Usuluddin, beliau telah berumahtangga dan kemudiannya terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Imam Muhammad bin Saud Al-Islamiah, Riyadh, Arab Saudi dalam jurusan Sastera Arab.
Pulang ke Malaysia pada tahun 1985, beliau menjawat jawatan sebagai Penolong Pensyarah di Pusat Matrikulasi UIA. Sehingga kini, selepas 24 tahun, beliau masih bekerja di Pusat Matrikulasi UIA (sekarang Pusat Asasi UIA) sebagai Pensyarah Bahasa Arab. Bapa kepada 9 anak ini juga ialah Imam Masjid Fastabiqul Khairat, Seksyen 22, Shah Alam. Sebagai pengasas dan pengerusi Darul Ulum, beliau banyak dibantu oleh isteri beliau, Puan Hajjah Rukiah binti Abd Rahman yang juga ialah Pengurus Hal Ehwal Darul Ulum beserta anak-anak beliau. Beliau juga dibantu oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Kini beliau bercita-cita untuk berpindah ke Cambodia untuk menguruskan Darul Ulum dengan lebih teliti dan secara terus sebaik sahaja bersara, iaitu pada umur 55 tahun.
Posted by INSTITUT DARUL ULUM CAMBODIA at 8:56 PM 0 comments
MASJID, BANGUNAN SEKOLAH, ASRAMA PELAJAR, DAN PONDOK PENDUDUK
Masjid yang kini tersergam indah di Darul Ulum, Poipeit ialah sumbangan sepenuhnya dari Prof Dato Dr Harun Din, seorang tokoh agama di Malaysia. Masjid ini sudah siap pembinaannya dan telah mula beroperasi pada akhir bulan Mei 2009. Selain itu, di Darul Ulum setakat ini juga sudah mempunyai sebuah bangunan sekolah yang mempunyai 7 kelas, dimana sebuah kelas dijadikan maktabah. Asrama pelajar terdiri dari beberapa buah pondok yang setiap satunya ditempatkan 5-6 orang pelajar. Untuk pelajar lelaki, terdapat 11 buah pondok manakala pelajar perempuan disediakan 2 buah pondok. Sebahagian kecil pelajar ialah anak kepada kakitangan Darul Ulum maka mereka tinggal di rumah masing-masing. Di Darul Ulum ini hanya terdapat 3 buah telaga pam dan 4 buah tandas untuk menampung keperluan penduduk dan para pelajar yang ramai. Terdapat juga sebuah kolam yang terletak di sebelah masjid yang mana airnya digunakan pada waktu darurat dan kekurangan air.
Pondok-pondok penduduk termasuk pekerja Darul Ulum yang terletak di Darul Ulum ini adalah sebanyak 15 buah pondok. Di tengah-tengah kawasan kampung Darul Ulum ini terletak sebuah surau lama yang digunakan sejak Darul Ulum mula dibuka hinggalah sekarang dijadikan dewan untuk makan dan berkumpul.
Posted by INSTITUT DARUL ULUM CAMBODIA at 8:55 PM 0 comments
KEPERLUAN-KEPERLUAN DARUL ULUM BUAT MASA INI
Darul Ulum sekarang sangat memerlukan 2 bangunan sekolah yang boleh menempatkan 7 kelas setiap satu, bangunan khas untuk pejabat, bangunan asrama pelajar bagi menggantikan pondok yang hanya menanti masa untuk roboh, bangunan rumah pekerja, dan pagar tanah untuk memagari kawasan Darul Ulum dan pagar besi untuk memagari kawasan Madrasah Darul Ulum. Darul Ulum juga memerlukan bantuan kewangan untuk menjalankan dan memajukan projek-projek ekonomi di tanah-tanah yang telah dibeli supaya Darul Ulum dapat berdiri dengan hasil ekonomi sendiri.
Posted by INSTITUT DARUL ULUM CAMBODIA at 8:55 PM 0 comments
EKONOMI DARUL ULUM
Pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk membangunkan ekonomi Darul Ulum agar mampu menyara lebih ramai golongan yang memerlukan. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan secara berperingkat, bergantung kepada modal Darul Ulum. Buat masa ini, di Darul Ulum telah beroperasi sebuah kedai koperasi yang menjual barangan keperluan dan runcit untuk kegunaan harian penduduk Darul Ulum dan kawasan berhampiran. Kedai koperasi ini sedikit sebanyak membantu pembangunan dan keperluan penduduk Darul Ulum. Selain kedai koperasi ini, Darul Ulum juga memiliki sebuah rumah sewa di tengah-tengah bandar Poipeit yang telah diwakafkan oleh seorang hamba Allah yang pemurah di Malaysia. Rumah itu kini disewa kepada sebuah keluarga di situ dengan kadar sewa RM250 sebulan. Darul Ulum juga menjalankan aktiviti pertanian tetapi aktiviti ini hanya dapat berjalan pada musim-musim tertentu sahaja. Pada musim panas kering, tiada tanaman dapat hidup dengan sempurna menyebabkan penduduk terpaksa beralih kepada aktiviti ekonomi keluarga sendiri seperti membuat makanan kering untuk dijual, menjahit pakaian dan lain-lain. Sebagai perancangan untuk jangka masa panjang, Darul Ulum telah membeli beberapa bidang tanah di beberapa tempat untuk menjalankan aktiviti ternakan, pertanian dan menyewa chalet untuk pelancong.
Posted by INSTITUT DARUL ULUM CAMBODIA at 8:52 PM 0 comments
AKTIVITI PELAJAR-PELAJAR
Di Darul Ulum, pelajar diberi wang sara diri sebanyak RM5 sebulan dan mereka memasak makanan sendiri. Aktiviti harian pelajar-pelajar disusun rapi oleh pihak Darul Ulum. Semua aktiviti yang ditetapkan adalah untuk tujuan tarbiyah dan wajib dipatuhi oleh semua pelajar. Antara aktiviti-aktiviti yang disusun dan wajib dipatuhi pelajar ialah, solat berjemaah (5 kali sehari di surau), qiyamullail (sekurang-kurangnya sekali seminggu dan dilakukan berjemaah), iltizam (solat tahajud, witir, dhuha dan rawatib), bacaan ma’thurat (setiap selepas subuh dan asar, sebelum pelajar pulang ke asrama), tilawah Al-Quran (amalan harian), puasa sunat (Isnin dan Khamis), Iktikaf (mengulangkaji atau sekadar berzikir di dalam surau), dan amali gotong-royong (sekali sebulan dan wajib disertai semua pelajar).
Aktiviti tahunan atau bulanan yang dijalankan di luar kampus ialah seperti Rihlah Smabil Belajar (setahun sekali ke tempat-tempat bersejarah atau tempat-tempat yang dirasakan perlu), Mukhayyam (setahun sekali dan diadakan di tempat selain dalam kampus) dan Amali Gotong Royong Luar Kampus (untuk mengeratkan hubungan pelajar dengan masyarakat, selain salah satu jalan dakwah).
Bagi aktiviti kokurikulum pula, setiap Khamis, pelajar diharuskan menghadiri sesi kokurikulum yang dijalankan mengikut arahan guru. Antara aktiviti kokurikulum wajib ialah, bahas, syarahan, quiz, nasyid dan tilawah Al-Quran. Aktiviti-aktiviti ini disusun mengikut turutan setiap bulan. Pelajar yang aktif akan mendapat markah yang diperuntukkan iaitu 15% untuk peperiksaan. Aktiviti sukan pula dijalankan harian setiap petang mengikut kreativiti guru.
Persatuan pelajar Darul Ulum bertanggungjawab menjaga kebajikan dan aktiviti pelajar di bawah pantauan Penolong Hal Ehwal Pelajar, Ustaz Abdul Nasir bin Sulaiman. Persatuan pelajar juga dibenarkan membuat aktiviti untuk tujuan pembangunan ekonomi pelajar dan ekonomi Darul Ulum amnya.
Posted by INSTITUT DARUL ULUM CAMBODIA at 8:52 PM 0 comments
MADRASAH DARUL QURAN
Madrasah Darul Quran adalah sebuah madrasah yang ditubuhkan oleh Darul Ulum di Kruchmar, Wilayah Kampung Cham. Terletak sejauh 600 kilometer dari Darul Ulum, madrasah ini mempunyai 3 buah kelas dan 2 orang guru agama dan seorang guru Al-Quran. Madrasah yang ditubuhkan pada akhir 2006 ini baru sahaja berusia 2 tahun beberapa bulan dan masih meminjam kawasan masjid Raudhatul Jannah, PhumPas, Kruchmar sebagai sekolah. Madrasah Darul Quran ini menyediakan pelajar-pelajar setakat sekolah rendah dan selepas itu, mereka akan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Darul Ulum, Poipet. Setakat ini juga masih belum disediakan asrama di madrasah cawangan ini. Pembinaan asrama masih dalam perancangan bergantung pada keperluan.
Posted by INSTITUT DARUL ULUM CAMBODIA at 8:51 PM 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)