1.1. ASAL PENUBUHAN
DARUL ULUM ialah sebuah institut berdaftar di Cambodia yang saya tubuhkan pada tahun 2000. Segalanya bermula pada Jun 1999, ketika saya pertama kali pulang melawat kampong halaman saya di PhumPas, Wilayah Kampong Cham, Cambodia. Terdapat ramai anak-anak terbiar, golongan tua yang sudah tidak berdaya dan ibu-ibu tunggal merempat di jalanan, memohon belas ihsan di merata-rata tempat. Pemandangan yang sangat jauh berbeza dengan Malaysia, tempat tinggal saya ini sangat mengejutkan dan memilukan hati saya. Cambodia hanya terletak selang satu negara dari Malaysia tetapi mengapa mereka sangat ketinggalan dari segi kemajuan? Lebih-lebih lagi penduduk Islam yang merupakan minoriti di Cambodia.
Pengaruh agama lain seperti Buddha dan Kristian serta golongan Athies di sana ternyata menekan kehidupan dan boleh menjejas akidah mereka. Terpanggil untuk melakukan sesuatu, sepulangnya saya dari Cambodia, saya telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah institusi yang dapat membela nasib umat Islam dan semua fakir miskin secara amnya dan memberikan pendidikan agama dan akademik yang sewajarnya mereka perolehi dan ilmu-ilmu kehidupan di dunia dan akhirat. Institusi ini juga bertujuan untuk mengajak mereka bergabung kekuatan dan tenaga demi memperjuangkan agama Islam di atas muka bumi tuhan ini.
Saya menubuhkan institusi ini di atas sebidang tanah seluas 9 ekar di bandar yang terletak hampir sempadan Cambodia-Thailand yang bernama Poipeit, di dalam wilayah Banteay Menchey, Cambodia. Antara sebab saya memilih sebuah bandar sempadan seperti Poipeit ialah, di bandar ini terdapat sangat kurang penduduk beragama Islam dan golongan minoriti ini pula masih kekurangan dalam segi ilmu dan pengamalan agama mereka. Sepanjang yang saya perhatikan dan saya tahu, di Cambodia masih tiada badan-badan bukan kerajaan atau sebarang pertubuhan Islam yang mengambil berat secara khusus tentang golongan-golongan tua yang tidak berdaya, fakir-fakir miskin, anak-anak yatim dan terbiar mahupun ibu-ibu tunggal. Mungkin sebagai negara yang baru sahaja pulih dari demam peperangan, Cambodia masih terlalu lemah untuk melangkah seiring negara-negara jirannya.
Selain itu juga, seperti yang telah saya katakan tadi, walaupun Islam sudah bertapak di bumi Cambodia sejak lebih 200 tahun lamanya, pengamalan golongan Islam yang sangat minoriti ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Malah masih terdapat penduduk negara ini yang tidak tahu langsung tentang agama Islam. Ini dikeruhkan lagi dengan kebanjiran mubaligh Kristian yang mempengaruhi rakyat Cambodia untuk menganut Kristian. Golongan ini mudah memenangi hati rakyat yang serba kekurangan memandangkan mereka ditanggung dan disokong kuat oleh negara-negara besar seperti Amerika dan negara-negara Eropah.
Selain dari semua sebab tersebut, antara sebab utama saya menubuhkan Institusi Darul Ulum ini ialah untuk menyambung dan mengeratkan hubungan antara umat Islam di Indochina dan di Nusantara dengan lebih erat dan mendalam.
Penduduk Darul Ulum sekarang merupakan golongan Islam yang hidup selesa di Kampung Cham yang sanggup berkorban untuk pindah dan tinggal di Darul Ulum yang terpencil dan jauh dari umat Islam lain dengan niat untuk mengembangkan agama Islam. Mungkin mereka tidak semulia kaum Muhajirin yang berpindah dari Mekah ke Madinah tetapi niat mereka hanya untuk menegakkan agama Islam di bumi Cambodia. Semoga Allah terus membantu semua yang berusaha di jalanNya. Amin.
0 comments:
Post a Comment