BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, December 6, 2009

PENGASAS DARUL ULUM

Pengasas Darul Ulum yang telah bertanggungjawab menubuhkan dan menjayakan Darul Ulum sejak awal sehingga ke hari ini ialah Ustaz Afi bin Abdullah. Beliau dilahirkan pada 30 September tahun 1955 di Phum Pas, Wilayah Kampong Cham, Cambodia. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah pondok di Cambodia sehingga umur beliau mencecah belasan tahun. Ketika serangan komunis di Cambodia, beliau bersama beberapa orang rakan telah melarikan diri ke Kelantan, Malaysia.
Di Kelantan, beliau dan rakan-rakan telah mendapat bantuan rakyat tempatan dan diambil menjadi anak angkat penduduk setempat. Beliau menuntut di Maahad Muhammadi Lilbanin di Kota Bharu, Kelantan. Selepas mengambil Sijil Tinggi Ugama (sekarang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)) dan belajar di Yayasan Pengajian Islam Tinggi Nilampuri, Kelantan(sekarang dikenali sebagai Akademi Islam, Universiti Malaya) dalam jurusan Usuluddin, beliau telah berumahtangga dan kemudiannya terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Imam Muhammad bin Saud Al-Islamiah, Riyadh, Arab Saudi dalam jurusan Sastera Arab.
Pulang ke Malaysia pada tahun 1985, beliau menjawat jawatan sebagai Penolong Pensyarah di Pusat Matrikulasi UIA. Sehingga kini, selepas 24 tahun, beliau masih bekerja di Pusat Matrikulasi UIA (sekarang Pusat Asasi UIA) sebagai Pensyarah Bahasa Arab. Bapa kepada 9 anak ini juga ialah Imam Masjid Fastabiqul Khairat, Seksyen 22, Shah Alam. Sebagai pengasas dan pengerusi Darul Ulum, beliau banyak dibantu oleh isteri beliau, Puan Hajjah Rukiah binti Abd Rahman yang juga ialah Pengurus Hal Ehwal Darul Ulum beserta anak-anak beliau. Beliau juga dibantu oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Kini beliau bercita-cita untuk berpindah ke Cambodia untuk menguruskan Darul Ulum dengan lebih teliti dan secara terus sebaik sahaja bersara, iaitu pada umur 55 tahun.

0 comments: