BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, December 6, 2009

Majlis Perasmian Masjid Darul Ulum


DATUK HARUN DIN MEMBERI UCAPAN SEBELUM MERASMIKAN MASJID DARUL ULUM

PENGASAS DARUL ULUM

Pengasas Darul Ulum yang telah bertanggungjawab menubuhkan dan menjayakan Darul Ulum sejak awal sehingga ke hari ini ialah Ustaz Afi bin Abdullah. Beliau dilahirkan pada 30 September tahun 1955 di Phum Pas, Wilayah Kampong Cham, Cambodia. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah pondok di Cambodia sehingga umur beliau mencecah belasan tahun. Ketika serangan komunis di Cambodia, beliau bersama beberapa orang rakan telah melarikan diri ke Kelantan, Malaysia.
Di Kelantan, beliau dan rakan-rakan telah mendapat bantuan rakyat tempatan dan diambil menjadi anak angkat penduduk setempat. Beliau menuntut di Maahad Muhammadi Lilbanin di Kota Bharu, Kelantan. Selepas mengambil Sijil Tinggi Ugama (sekarang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)) dan belajar di Yayasan Pengajian Islam Tinggi Nilampuri, Kelantan(sekarang dikenali sebagai Akademi Islam, Universiti Malaya) dalam jurusan Usuluddin, beliau telah berumahtangga dan kemudiannya terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Imam Muhammad bin Saud Al-Islamiah, Riyadh, Arab Saudi dalam jurusan Sastera Arab.
Pulang ke Malaysia pada tahun 1985, beliau menjawat jawatan sebagai Penolong Pensyarah di Pusat Matrikulasi UIA. Sehingga kini, selepas 24 tahun, beliau masih bekerja di Pusat Matrikulasi UIA (sekarang Pusat Asasi UIA) sebagai Pensyarah Bahasa Arab. Bapa kepada 9 anak ini juga ialah Imam Masjid Fastabiqul Khairat, Seksyen 22, Shah Alam. Sebagai pengasas dan pengerusi Darul Ulum, beliau banyak dibantu oleh isteri beliau, Puan Hajjah Rukiah binti Abd Rahman yang juga ialah Pengurus Hal Ehwal Darul Ulum beserta anak-anak beliau. Beliau juga dibantu oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Kini beliau bercita-cita untuk berpindah ke Cambodia untuk menguruskan Darul Ulum dengan lebih teliti dan secara terus sebaik sahaja bersara, iaitu pada umur 55 tahun.

MASJID, BANGUNAN SEKOLAH, ASRAMA PELAJAR, DAN PONDOK PENDUDUK








                 Masjid yang kini tersergam indah di Darul Ulum, Poipeit ialah sumbangan sepenuhnya dari Prof Dato Dr Harun Din, seorang tokoh agama di Malaysia. Masjid ini sudah siap pembinaannya dan telah mula beroperasi pada akhir bulan Mei  2009. Selain itu, di Darul Ulum setakat ini juga sudah mempunyai sebuah bangunan sekolah yang mempunyai 7 kelas, dimana sebuah kelas dijadikan maktabah. Asrama pelajar terdiri dari beberapa buah pondok yang setiap satunya ditempatkan 5-6 orang pelajar. Untuk pelajar lelaki, terdapat 11 buah pondok manakala pelajar perempuan disediakan 2 buah pondok. Sebahagian kecil pelajar ialah anak kepada kakitangan Darul Ulum maka mereka tinggal di rumah masing-masing. Di Darul Ulum ini hanya terdapat 3 buah telaga pam dan 4 buah tandas untuk menampung keperluan penduduk dan para pelajar yang ramai. Terdapat juga sebuah kolam yang terletak di sebelah masjid yang mana airnya digunakan pada waktu darurat dan kekurangan air.
                 Pondok-pondok penduduk termasuk pekerja Darul Ulum yang terletak di Darul Ulum ini adalah sebanyak 15 buah pondok. Di tengah-tengah kawasan kampung Darul Ulum ini terletak sebuah surau lama yang digunakan sejak Darul Ulum mula dibuka hinggalah sekarang dijadikan dewan untuk makan dan berkumpul.

KEPERLUAN-KEPERLUAN DARUL ULUM BUAT MASA INI

Darul Ulum sekarang sangat memerlukan 2 bangunan sekolah yang boleh menempatkan 7 kelas setiap satu, bangunan khas untuk pejabat, bangunan asrama pelajar bagi menggantikan pondok yang hanya menanti masa untuk roboh, bangunan rumah pekerja, dan pagar tanah untuk memagari kawasan Darul Ulum dan pagar besi untuk memagari kawasan Madrasah Darul Ulum. Darul Ulum juga memerlukan bantuan kewangan untuk menjalankan dan memajukan projek-projek ekonomi di tanah-tanah yang telah dibeli supaya Darul Ulum dapat berdiri dengan hasil ekonomi sendiri.

EKONOMI DARUL ULUM

Pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk membangunkan ekonomi Darul Ulum agar mampu menyara lebih ramai golongan yang memerlukan. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan secara berperingkat, bergantung kepada modal Darul Ulum. Buat masa ini, di Darul Ulum telah beroperasi sebuah kedai koperasi yang menjual barangan keperluan dan runcit untuk kegunaan harian penduduk Darul Ulum dan kawasan berhampiran. Kedai koperasi ini sedikit sebanyak membantu pembangunan dan keperluan penduduk Darul Ulum. Selain kedai koperasi ini, Darul Ulum juga memiliki sebuah rumah sewa di tengah-tengah bandar Poipeit yang telah diwakafkan oleh seorang hamba Allah yang pemurah di Malaysia. Rumah itu kini disewa kepada sebuah keluarga di situ dengan kadar sewa RM250 sebulan. Darul Ulum juga menjalankan aktiviti pertanian tetapi aktiviti ini hanya dapat berjalan pada musim-musim tertentu sahaja. Pada musim panas kering, tiada tanaman dapat hidup dengan sempurna menyebabkan penduduk terpaksa beralih kepada aktiviti ekonomi keluarga sendiri seperti membuat makanan kering untuk dijual, menjahit pakaian dan lain-lain. Sebagai perancangan untuk jangka masa panjang, Darul Ulum telah membeli beberapa bidang tanah di beberapa tempat untuk menjalankan aktiviti ternakan, pertanian dan menyewa chalet untuk pelancong.

AKTIVITI PELAJAR-PELAJAR

Di Darul Ulum, pelajar diberi wang sara diri sebanyak RM5 sebulan dan mereka memasak makanan sendiri. Aktiviti harian pelajar-pelajar disusun rapi oleh pihak Darul Ulum. Semua aktiviti yang ditetapkan adalah untuk tujuan tarbiyah dan wajib dipatuhi oleh semua pelajar. Antara aktiviti-aktiviti yang disusun dan wajib dipatuhi pelajar ialah, solat berjemaah (5 kali sehari di surau), qiyamullail (sekurang-kurangnya sekali seminggu dan dilakukan berjemaah), iltizam (solat tahajud, witir, dhuha dan rawatib), bacaan ma’thurat (setiap selepas subuh dan asar, sebelum pelajar pulang ke asrama), tilawah Al-Quran (amalan harian), puasa sunat (Isnin dan Khamis), Iktikaf (mengulangkaji atau sekadar berzikir di dalam surau), dan amali gotong-royong (sekali sebulan dan wajib disertai semua pelajar).
                Aktiviti tahunan atau bulanan yang dijalankan di luar kampus ialah seperti Rihlah Smabil Belajar (setahun sekali ke tempat-tempat bersejarah atau tempat-tempat yang dirasakan perlu), Mukhayyam (setahun sekali dan diadakan di tempat selain dalam kampus) dan Amali Gotong Royong Luar Kampus (untuk mengeratkan hubungan pelajar dengan masyarakat, selain salah satu jalan dakwah).
                Bagi aktiviti kokurikulum pula, setiap Khamis, pelajar diharuskan menghadiri sesi kokurikulum yang dijalankan mengikut arahan guru. Antara aktiviti kokurikulum wajib ialah, bahas, syarahan, quiz, nasyid dan tilawah Al-Quran. Aktiviti-aktiviti ini disusun mengikut turutan setiap bulan. Pelajar yang aktif akan mendapat markah yang diperuntukkan iaitu 15% untuk peperiksaan. Aktiviti sukan pula dijalankan harian setiap petang mengikut kreativiti guru.
                Persatuan pelajar Darul Ulum bertanggungjawab menjaga kebajikan dan aktiviti pelajar di bawah pantauan Penolong Hal Ehwal Pelajar, Ustaz Abdul Nasir bin Sulaiman. Persatuan pelajar juga dibenarkan membuat aktiviti untuk tujuan pembangunan ekonomi pelajar dan ekonomi Darul Ulum amnya.

MADRASAH DARUL QURAN

Madrasah Darul Quran adalah sebuah madrasah yang ditubuhkan oleh Darul Ulum di Kruchmar, Wilayah Kampung Cham. Terletak sejauh 600 kilometer dari Darul Ulum, madrasah ini mempunyai 3 buah kelas dan 2 orang guru agama dan seorang guru Al-Quran. Madrasah yang ditubuhkan pada akhir 2006 ini baru sahaja berusia 2 tahun beberapa bulan dan masih meminjam kawasan masjid Raudhatul Jannah, PhumPas, Kruchmar sebagai sekolah. Madrasah Darul Quran ini menyediakan pelajar-pelajar setakat sekolah rendah dan selepas itu, mereka akan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Darul Ulum, Poipet. Setakat ini juga masih belum disediakan asrama di madrasah cawangan ini. Pembinaan asrama masih dalam perancangan bergantung pada keperluan.

MADRASAH DARUL ULUM

Madrasah Darul Ulum yang telah berdaftar dengan kerajaan Cambodia dan pejabat mufti ini ditubuhkan pada tahun 2003 di Kampung Darul Ulum, Breigup Poipet, Wilayah Banteay Menchey. Madrasah ini bermula dengan pelajar seramai 50 orang dan guru seramai 4 orang dan 4 buah pondok kelas. Kini, Madrasah Darul Ulum mempunyai seramai hampir 150 orang pelajar dengan 7 orang guru dan mempunyai sebuah bangunan sekolah satu tingkat yang mempunyai 7 kelas. Terdapat 11 pondok asrama lelaki dan 2 pondok asrama perempuan. Madrasah ini terbahagi kepada 3 peringkat iaitu tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Peringkat rendah dari darjah 1 hingga 6 manakala  sekolah menengah bermula tingkatan 1 hingga 4. Selepas tamat tingkatan 4, mereka yang cemerlang akan dibawa belajar di Malaysia untuk mengambil sijil-sijil yang diperlukan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Sesi persekolahan di Madrasah Darul Ulum bermula hari Sabtu hingga Rabu, dari jam seawal 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Sesi petang pula bermula jam 1.00 petang hingga 3.30 petang. Bagi menengah atas pula, terdapat satu sesi lagi iaitu pada jam 4.00 petang hingga 5.00 petang. Uniform bagi Madrasah Darul Ulum ini ialah jubah putih dan kopiah putih bagi lelaki dan jubah biru gelap dan tudung labuh berwarna putih. Berikut ialah matapelajaran akademik dan agama yang diajar di Madrasah Darul Ulum. Matapelajaran akademik adalah mengikut sukatan pelajaran Cambodia manakala pelajaran agama pula mengikut sukatan pelajaran Jabatan Agama Islam Selangor dengan sumbangan buku teks dari pihak Jabatan Agama Islam Selangor.
Akademik:
·         Bahasa Inggeris
·         Bahasa Melayu
·         Bahasa Khmer
·         Bahasa Cham
·         Matematik
·         Sains
·         Sejarah
·         Geografi

Agama:
·         Bahasa Arab
·         Feqah
·         Tauhid
·         Hadith
·         Tafsir
·         Nahu
·         Sorof
·         Sirah
·         Muthala’ah / Nusus
·         Balaghah
·         Khat / Imla’

Di Madrasah Darul Ulum, peperiksaan diadakan sebanyak 4 kali setahun termasuk peperiksaan pertengahan dan akhir tahun. Markah peperiksaan hanya 85% dari 100% manakala 15% lagi diperuntukkan dari kokurikulum. Setiap kali selepas peperiksaan, pelajar akan diberi cuti selama seminggu dan cuti akhir tahun bermula dari akhir Syaaban hingga 15 Syawal iaitu selama 45 hari. Setakat ini Madrasah Darul Ulum hanya mengeluarkan sijil peperiksaan akhir tahun sahaja dan pelajar akan mengambil sijil-sijil peperiksaan seperti SMA, SPM atau STAM sewaktu belajar di sekolah di Malaysia.

PENDIDIKAN DARUL ULUM

Sistem pengajian di Darul Ulum terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Pengajian Khas, Pengajian Am dan Pengajian Umum. Madrasah Darul Ulum dan Madrasah Darul Quran tertakluk di bawah sistem Pengajian Khas yang mengikut sistem persekolahan biasa yang mempunyai peringkat rendah dan menengah mengikut sukatan pelajaran sekolah-sekolah agama di Malaysia. Antara tujuan sistem Pengajian Khas ini ialah untuk mendedahkan pelajar-pelajar kepada sistem pelajaran tersusun seperti di negara lain dan membuka peluang mereka untuk mengambil sijil-sijil yang diperlukan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara. Sistem yang kedua dan ketiga, Pengajian Am dan Pengajian Umum pula lebih terbuka dan menjurus lebih dalam ke dalam aspek agama. Pengajian Am ialah pengajian yang mengikut sistem pondok di mana pelajar akan mendalami bidang-bidang utama pengajian Islam seperti Shari’ah, Usuluddin dan Sastera Arab. Pengajian Umum yang dijalankan sekali seminggu pula lebih bersifat umum di mana bentuk penyampaiannya ialah dalam bentuk ceramah agama, tazkirah dan kuliah setiap kali selepas Subuh dan Maghrib dan setiap kali hari cuti. Pengajian Umum ini juga ditekankan pada penduduk kampung dan penduduk sekitar untuk mewujudkan komuniti Islam yang sedar dan aktif.

MATLAMAT / OBJEKTIF PENUBUHAN


·         Mencari keredhaan Allah
·         Menunaikan amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah ini
·         Menunaikan tanggungjawab sebagai muslim kepada saudara seIslam
·         Mendidik generasi muda Muslim supaya menjadi orang yang alim, soleh serta rela berjuang dan berkorban di jalan Allah
·         Mempertingkatkan ekonomi umat Islam di samping membantu mereka yang miskin, lemah dan tidak berdaya
·         Menyeru umat manusia ke jalan Allah (memeluk agama Islam)
·         Memupuk semangat ukhuwah Islamiah dan persahabatan serta semangat kejiranan

SATU PENGENALAN

1.1.             ASAL PENUBUHAN
DARUL ULUM ialah sebuah institut berdaftar di Cambodia yang saya tubuhkan pada tahun 2000. Segalanya bermula pada Jun 1999, ketika saya pertama kali pulang melawat kampong halaman saya di PhumPas, Wilayah Kampong Cham, Cambodia. Terdapat ramai anak-anak terbiar, golongan tua yang sudah tidak berdaya dan ibu-ibu tunggal merempat di jalanan, memohon belas ihsan di merata-rata tempat. Pemandangan yang sangat jauh berbeza dengan Malaysia, tempat tinggal saya ini sangat mengejutkan dan memilukan hati saya. Cambodia hanya terletak selang satu negara dari Malaysia tetapi mengapa mereka sangat ketinggalan dari segi kemajuan? Lebih-lebih lagi penduduk Islam yang merupakan minoriti di Cambodia.
Pengaruh agama lain seperti Buddha dan Kristian serta golongan Athies di sana ternyata menekan kehidupan dan boleh menjejas akidah mereka. Terpanggil untuk melakukan sesuatu, sepulangnya saya dari Cambodia, saya telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah institusi yang dapat membela nasib umat Islam dan semua fakir miskin secara amnya dan memberikan pendidikan agama dan akademik yang sewajarnya mereka perolehi dan ilmu-ilmu kehidupan di dunia dan akhirat. Institusi ini juga bertujuan untuk mengajak mereka bergabung kekuatan dan tenaga demi memperjuangkan agama Islam di atas muka bumi tuhan ini.
Saya menubuhkan institusi ini di atas sebidang tanah seluas 9 ekar di bandar yang terletak hampir sempadan Cambodia-Thailand yang bernama Poipeit, di dalam wilayah Banteay Menchey, Cambodia. Antara sebab saya memilih sebuah bandar sempadan seperti Poipeit ialah, di bandar ini terdapat sangat kurang penduduk beragama Islam dan golongan minoriti ini pula masih kekurangan dalam segi ilmu dan pengamalan agama mereka. Sepanjang yang saya perhatikan dan saya tahu, di Cambodia masih tiada badan-badan bukan kerajaan atau sebarang pertubuhan Islam yang mengambil berat secara khusus tentang golongan-golongan tua yang tidak berdaya, fakir-fakir miskin, anak-anak yatim dan terbiar mahupun ibu-ibu tunggal. Mungkin sebagai negara yang baru sahaja pulih dari demam peperangan, Cambodia masih terlalu lemah untuk melangkah seiring negara-negara jirannya.
Selain itu juga, seperti yang telah saya katakan tadi, walaupun Islam sudah bertapak di bumi Cambodia sejak lebih 200 tahun lamanya, pengamalan golongan Islam yang sangat minoriti ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Malah masih terdapat penduduk negara ini yang tidak tahu langsung tentang agama Islam. Ini dikeruhkan lagi dengan kebanjiran mubaligh Kristian yang mempengaruhi rakyat Cambodia untuk menganut Kristian. Golongan ini mudah memenangi hati rakyat yang serba kekurangan memandangkan mereka ditanggung dan disokong kuat oleh negara-negara besar seperti Amerika dan negara-negara Eropah.
Selain dari semua sebab tersebut, antara sebab utama saya menubuhkan Institusi Darul Ulum ini ialah untuk menyambung dan mengeratkan hubungan antara umat Islam di Indochina dan di Nusantara dengan lebih erat dan mendalam.
Penduduk Darul Ulum sekarang merupakan golongan Islam yang hidup selesa di Kampung Cham yang sanggup berkorban untuk pindah dan tinggal di Darul Ulum yang terpencil dan jauh dari umat Islam lain dengan niat untuk mengembangkan agama Islam. Mungkin mereka tidak semulia kaum Muhajirin yang berpindah dari Mekah ke Madinah tetapi niat mereka hanya untuk menegakkan agama Islam di bumi Cambodia. Semoga Allah terus membantu semua yang berusaha di jalanNya. Amin.